SAYA seorang pengkaji dan penulis sejarah Melayu tradisi khususnya yang berkaitan Kesultanan Melayu Melaka, Johor dan Pahang. Saya ingin mengulas sedikit dakwaan Raja Noor Jan Raja Tuah sebagai pewaris Kesultanan Melaka yang sah.
Mengikut Adat Raja-Raja Melayu warisan Melaka, menjadi Raja kepada sebuah kerajaan diperoleh melalui dua cara. Pertama, kenaikan takhta sebagai mengganti Sultan yang mangkat atau turun takhta atas sebab-sebab tertentu.
Kedua, penganugerahan wilayah dan penobatan daripada mana-mana Sultan yang masih hidup dengan disertakan alat kebesaran.
Contohnya, Raja Muhammad yang dianugerah Kerajaan Pahang daripada ayahandanya, Sultan Mansor Shah Melaka, Raja Lumu yang menjadi Sultan Selangor 1 atas nobat Sultan Perak, Tun Zainal Abidin yang menjadi Sultan Terengganu 1 atas nobat Sultan Johor Lama dan banyak lagi contoh lain. Inilah sistem yang diamalkan oleh Raja-Raja Melayu sejak berkurun lamanya.
Menjejaki sejarah Melayu lebih awal, Sang Nila Utama sendiri ditabalkan oleh Demang Lebar Daun, Raja Palembang dari Bukit Siguntang yang menyerahkan kerajaan Melayu Palembang kepada baginda dan menobatkannya sebagai Raja Melayu pertama, yang mana Demang Lebar Daun kemudian meletakkan dirinya sebagai Bendahara Melayu yang pertama.
Kebetulan adat pelantikan dan pertabalan seperti ini yang diamalkan Raja-Raja Melayu ada dalil syarak iaitu termasuk dalam proses aqad dan bai抋t, dibuat bagi memastikan tidak putus rantaian salasilah sebuah kerajaan Islam dari zaman khalifah selepas wafatnya Rasulullah.
Satu-satunya cara bagi Raja Noor Jan menuntut takhta negeri Melaka adalah dengan menghadap Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Perak sebagai pewaris darah Kesultanan Melaka yang sah dan berdaulat.
Mohonlah perkenan baginda untuk menobatkannya sebagai Raja Melaka dengan disertakan alat kebesaran Kesultanan Perak. Menuntut takhta Melaka semata-mata dengan bersandarkan pada hubungan salasilah dengan Sultan Mahmud Shah 1 (1488-1511) sebagai faktor kelayakan bukanlah muktamad kerana cabang keturunan baginda adalah terlalu besar.
Perjumpaan alat kebesaran Melaka juga bukan bukti, sebaiknya diserahkan kembali kepada Kesultanan Perak sebagai pewaris Melaka.
SUZANA OTHMAN,
Pewaris Bendahara Melaka, Johor dan Pahang.
Kerabat nafi dakwaan Noor Jan keturunan raja
KUALA KANGSAR: Seorang kerabat diraja Perak, Raja Ali Raja Amran menafikan Noor Jan Tuah Shah adalah keturunan Raja Pandak Abd Rahman, iaitu seorang daripada empat anak Sultan Perak Ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I.
Beliau berkata, dalam siasatan yang beliau lakukan sendiri mendapati lelaki terbabit yang turut mendakwa sebagai Sultan Melaka adalah orang kebanyakan berasal dari Kampung Teluk Perang, Parit.
"Dia bukan keturunan raja atau dari Raja Pandak Abd Rahman, sebaliknya keturunan Alang Abd Rahman yang berkahwin dengan Hitam Fatimah.
"Hitam Fatimah juga bukan keturunan raja. Pasangan ini kemudian dikurniakan tiga anak lelaki, iaitu Mat Alif, Mat Lajin dan Pandak Ibrahim," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.
Beliau berkata, Mat Alif yang berkahwin dengan Batiah Uda Kolah, dikurniakan empat anak, iaitu Saadiah, Hamzah, Mariah dan Timah manakala Pandak Ibrahim pula dikurniakan seorang anak lelaki, Alias.
"Mat Lajin yang berkahwin dengan Saodah Uda Rapo pula dikurniakan tiga anak, iaitu Abd Talib, Tuah dan Mean.
"Tuah yang berkahwin dengan Ou Hitam Wahab pula dikurniakan enam anak, iaitu Hatibah, Bahar Burdin, Noor Jan (lelaki yang mendakwa sebagai Sultan Melaka), Mahuri, Rodman dan Halijah," katanya.
Selain itu, Raja Ali juga mendedahkan lelaki sama pernah memohon dilantik sebagai Raja Muda Perak, tahun lalu.
Dia mendakwa sebagai waris Sultan Perak Ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah (1) yang memerintah negeri ini dari 1851-1857, mengemukakan permohonan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, menerusi surat bertarikh 31 Disember 2004 dengan menggunakan alamat No 6 Jalan Seri Kinta 19, Kampung Seri Kinta, Ipoh.
Bagaimanapun, permohonannya ditolak oleh Dewan Negara Perak melalui surat yang dihantar Toh Amar Seri Diraja, Datuk Ayop Hashim, bertarikh 13 Januari 2005.
Raja Ali berkata, permohonannya ditolak kerana dia melantik dirinya terlebih dulu sebagai Raja Muda sebelum mengemukakan permohonan.
Beliau berkata, pelantikan hanya boleh dibuat Dewan Negari Perak yang dipengerusikan Sultan Azlan Shah.
Katanya, lelaki itu juga pernah memohon supaya dilantik menjadi Raja Kecil Bongsu Perak pada 15 Mac 2001 dengan mendakwa sebagai waris ke 7 keturunan Sultan Perak Ke 18, Sultan Ahmaddin Shah yang memerintah negeri ini pada 1786 hingga 1806.
MELAKA: Hasrat kira-kira 3,000 pengunjung yang ingin melihat wajah Laksamana Hang Tuah di Muara Sungai Duyong, semalam seperti dakwaan seorang ahli perniagaan, tidak kesampaian.
Ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya waris Sultan Melaka ke-44, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah Shah mendakwa pahlawan Melayu Melaka itu akan menyerahkan sarung keris terbabit kepadanya.
Bagaimanapun, dalam upacara Penyerahan Taming Sari bermula jam 12.40 tengah hari itu, tiada lelaki muncul.
Keris berkilauan putih serta hulunya turut diperbuat dari logam sepanjang 43 sentimeter itu hanya dibalut dengan kain kuning dan tiada sesiapa menyerahkan sarungnya selepas Noor Jan Shah menerimanya.
Noor Jan Shah, dalam ucapannya berkata, dia sudah lama mengambarkan rupa bentuk keris Taming Sari itu dan bentuknya seperti dalam buku Taming Sari Kembali Keempunya.
Sebelum keris itu diserahkan, satu upacara khas bagi `menimbulkan? keris itu dilakukan oleh seorang lelaki yang digelar, Datuk Kurnia Setia Pawang Di-Raja, Mohd Fauzi Anang.
Pawang berkenaan dengan beberapa pengikut Noor Jan Shah menuju ke muara sungai untuk melakukan upacara itu yang bermula jam 11.15 pagi.
Orang ramai yang berada di situ berpusu-pusu untuk melihat keris milik Hang Tuah itu yang dibawa Mohd Fauzi dengan diiringi seorang orang kanan? Noor Jan yang lengkap berpakaian songkek kuning.
Selepas 15 minit upacara berkenaan, pawang berkenaan menarik objek berbentuk keris tembaga yang didakwa sebagai Taming Sari.
Orang kanan Noor Jan Shah membaca selawat dan kelihatan mengigil sambil membalut keris itu dengan kain kuning sebelum menyerahkan kepada Noor Jan Shah.
Noor Shah mendakwa kejayaan pawang menimbulkan keris Taming Sari adalah satu bukti beliau mempunyai daulat dan waris Sultan Melaka yang sah.
Beliau juga meminta orang ramai supaya membeli buku Taming Sari Keempunya yang dijual dengan harga RM20 jika ingin mengetahui sejarah dan reka bentuk keris berkenaan.
0 comments:
Post a Comment