Jelas sekali bahawa kehebatan Sastera Rakyat adalah melalui kelisanannya Setiap perkara adalah mementingkan hafalan. Hafalan di sini bukannya seperti kita menghafal skrip jawapan untuk peperiksaan, tapi hafalan Sastera Rakyat penuh dengan penghayatan yang boleh memberi kesan kepada khalayaknya. Disampaikan dari mulut ke mulut dan telah menjadi tanggungjawab masayarakat Melayu untuk menyebarkan Sastera Rakyat ini. Tambahan pula kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu belum tahu menulis dan membaca. Namun begitu masyarakat Melayu pada ketika itu masih dapat menghasilkan Sastera Rakyat yang begitu bernilai tinggi.
Bila Sastera Rakyat ini bersifat lisan maka sudah tentu mempunyai tukang cerita yang mahir sebagai penyampai. Di antara tukang cerita yang paling terkenal ialah Pawang Anna dan Mir Hassan. Kehebatan tukang-tukang cerita ini terletak kepada kreativitinya yang tidak ada pada bangsa-bangsa lain. Mereka menyampaikan cerita dengan lagu dan irama yang lemak merdu sehingga sedap telinga kita apabila mendengarnya. Kreatifnya mereka bila diiringi dengan bunyi-bunyian seperti rebana, gendang dan serunai. Dapat dilihat bahawa gabungan bunyi-bunyian dan suara boleh mempegaruhi masyarakat Melayu pada masa itu dan juga pada masa sekarang jika ada tumpuan apabila menghayatinya.
Tidak terdapat langsung yang cuba mendakwa pada masa itu segala hasil karya adalah miliknya. Semuanya dikira sebagai milik bersama-sama kerana mereka lebih bersifat kolektif dalam segala hal. Tidak ada yang bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Cubit peha kanan peha kiri terasa. Kehidupan mereka sungguh akrab sekali dan tiada ada yang mementingkan hal peribadi sendiri. Masyarakat adalah lebih penting dari segala-galanya. Malu seorang malu semua. Ibarat beranak seorang mengajar ramai. Jelas sekali pada masa ini tidak ada sikap untuk penonjolan diri. Semua yang dilakukan adalah untuk kepentingan masayarakat belaka.
Sastera Rakyat juga adalah merupakan tradisi masyarakat Melayu yang sangat bernilai sekali. Ramai yang menganggap bahawa ia sukar menerima beberapa perubahan dan bersifat statik. Pemikiran yang sebegini adalah nakal dan perlu diubah dengan segera kerana kita perlu menafsirkan semula semua Sastera Rakyat mengikut konteks hari ini. Pentafsiran haruslah secara terbuka dan penafsir mestilah mempunyai asas Melayu dan Islam secara kukuh serta jangan ditingglkan soal adat serta budaya. Sastera Rakyat sebenarnya adalah menggambarkan ketamadunan bangsa Melayu yang mempunyai akar tunjang yang begitu jitu. Diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Agak malang sekali jika kita tidak mahu meninjau dan memikirkan kehebatan Melayu di dalam teromba, pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, cerita-cerita binatang, cerita-cerita jenaka dan sebagainya.
Sastera Rakyat Melayu juga banyak mempunyai persamaan dengan lain-lain bangsa di dunia. Persamaan ini dari segi plot, pemikiran dan persekitarannya. Dalam cerita-cerita binatang Melayu tokoh utamanya ialah Sang Kancil dan di kalangan masyarakat Red Indian watak utamanya ialah Serigala, di kalangan bangsa Vietnam watak pentingnya ialah Kelinci. Terdapat juga cerita yang terkenal iaitu Belanda minta tanah di Betawi. Di Amerika pula terkenal sekali cerita orang Peranchis minta tanah dari orang Red Indian dengan cara meminta tanah selebar belulang sehingga mendapat tanah yang lebih luas. Semuanya adalah dengan cara yang tidak betul iaitu penipuan.
Dalam perkembangan Sastera Rakyat ia bersifat dinamik dan bukan satu benda yang mati walaupun telah menjangkau di era globalisasi. Terdapat banyak perubahan mengikut pembawa, pencerita dan penggiatnya. Segala tokok tambah ini bukannya menunjukkan kelemahan tetapi adalah atas kepentingan setempat serta untuk menyampaikan mesej. Setiap Sastera Rakyat Melayu berubah mengikut penyesuaian setempat dan ianya tidak bersifat komersial untuk kepentingan diri sendiri. Kita harus mentafsir sesuatu cerita Sastera Rakyat Melayu secara ilmiah dan benar-benar cuba untuk mengalami dan menghayati. Jika ditafsir secara emosi kita tidak akan dapat jumpa jawapan sebenar. Misalnya cerita Mat Jenin sebenarnya adalah cerita perancangan rapi orang-orang Melayu yang bercita-cita untuk cemerlang, gemilang dan terbilang akan tetapi penamatnya telah diselewengkan oleh orientalis barat atas tujuan penjajahan.
Kebanyakan hasil Sastera Rakyat Melayu adalah berkaitan dengan kehidupan harian mereka. Mereka nampaknya sudah mula mencari suatu perlarian untuk sama-sama membantu masalah yang mereka hadapi setiap hari. Lahirlah cerita-cerita hantu, dewa dewi dari kayangan, mantera, jampi, serapah dan sebagainya. Kepercayaan anamisme seperti ini begitu kuat menjadi pegangan mereka. Lahirlah ciptaan mereka dengan menggunakan bahasa-bahasa yang indah dan ada kaitan dengan alam.
Plot Sastera Rakyat Melayu adalah mudah dan senang difahami. Namun begitu cuma dalam cerita Penglipur Lara sahaja plotnya berbelit-belit dan sejajar dengan ceritanya yang wujud dalam alam yang tidak nyata. Nilai-nilai sasteranya akan dapat kita rasai jika kita mempunyai penghayatan yang tinggi. Pertembungan watak-watak dalam cerita ini boleh memberi kesan kepada khalayak.
Orang-orang Melayu mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan Sastera Rakyat memainkan peranan untuk menyampaikan mesej dan membawa pengajaran. Setiap perlakuan dalam masyarakat jika hendak dikritik adalah secara tidak langsung dan berkias. Masyarakat Melayu mempunyai nilai budi yang begitu tinggi dan mereka tidak mahu memalukan orang lain secara nyata. Setiap teguran adalah dibuat secara kiasan dan menggunakan bahasa yang berlapis. Begitulah sopannya bangsa Melayu walaupun marah masih lagi secara beradab dan bukan marah mengikut nafsu sahaja.
Jika kita ingin melihat adat, budaya dan resam bangsa Melayu kita boleh lihat melalui Sastera Rakyatnya. Melaluinya juga kita boleh lihat tahap pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Sastera Rakyat ini juga adalah sastera Melayu yang tertua dan banyak berfungsi untuk menyapaikan maklumat kepada bangsanya sendiri. Keindahan dan kehebatan Sastera Rakyat Melayu ini adalah terletak kepada kelisananya dan apabila dituliskan maka yang tersirat akan beransur-ansur tenggelam. Jika mampu digali Cuma boleh dilakukan oleh orang yang mahir sahaja. Penyalinan semula Sastera Rakyat Melayu dalam tulisan rumi juga adalah suatu kelemahan kerana ketulinan cerita akan hilang. Selain itu menjadi anak muda Melayu menjauhi tulisan jawi. Pati kehebatan orang-orang Melayu sebenarnya masih banyak terakam dalam tulisan jawi.
0 comments:
Post a Comment